adverts

Saturday, April 13, 2013

[Short Stories Saturday] #11 : 15 April...




"Tinggal sebulan je lagi Ri.. kalau kau tak buat apa-apa, bukan takat melepas je. Menyesal pon ada."

Nazri duduk ditepi tembok luar ofisnya sambil memeluk kaki. Di tangan kirinya setin air Pepsi yang sudah tinggal separuh, di tangan kanannya sebatang rokok Mild Seven light yang nyalaannya sudah hampir menjengah puntung. Jam menghampiri 4 pagi. Nazri, Aiman dan Haziq leka berehat tea break dibawah sinaran bulan. Lazimnya kalau kerja shift malam memang biasa bagi mereka untuk keluar sebentar di luar pejabat untuk minum minum atau menghisap rokok ketika ini. kerana biasanya jam 4 pagi kerja sudah mula berkurangan. Memang selalu macam macam benda hendak diborakkan dari cerita bola, perempuan, kerja, politik.. pendek kata, biasalah sembang jantan.

Pagi itu sembang jantan mereka tertumpu kepada Nazri dan dilema kisah cintanya yang belum jua kesampaian. Shana, gadis berusia 23 tahun yang juga officemate mereka adalah gadis bertuah yang diidamkan Nazri sejak sekian lama. Sejak pertama kali Nazri terpandang Shana sejak dia bermula kerja disitu hampir setahun yang lalu, hatinya sudah terlekap pada Shana. Shana tidaklah terlalu istimewa orangnya. Bukanlah seorang gadis hot seperti Neelofa atau berpotongan badan seperti Rozita Che Wan. Shana biasa orangnya. Seorang gadis biasa yang bertudung, walaupun sedikit rendah dan berisi, Shana tetap memiliki keayuan tersendiri yang menjadi daya penarik mana-mana lelaki terhadapnya. Dan Nazri, seorang yang sudah single sejak sekian lama terlalu tertarik kepada Shana dan inginkan Shana bukan sekadar menjadi teman wanitanya tetapi mahukan Shana menjadi jodohnya dan tua bersama. Tapi cuma satu masalahnya;

"Shana dah ada pakwe Ri.. kau kena terima hakikat tu. Dia sayang gila macam babi kat pakwe dia bhaii.."
Dan Nazri terdiam lagi, ayat Haziq menjadi pemukul paling efektif jiwanya malam itu. Nazri mengeluh lesu, puntung rokoknya dijentik ke dalam longkang. Dia tenung Haziq, geram pun ada dengan kata-katanya yang pedas tu.
"Aku taktau nak buat ape sekarang ni, kalau aku cakap kat dia sekarang mesti dia tolak aku punya. Aku perlukan masa beb. Masa yang terbaik dan peluang yang terbaik.", kata Nazri.
"Masalahnya kau dah takde masa Ri. Lagi sebulan Shana kena pindah kat tempat lain. Tuhan dah bagi masa yang cukup lama untuk kau. Kalau tak Shana tu dua bulan lepas dah takde dekat sini tau! lagi la kau dah takde peluang langsung nak bagitau dia." Aiman pula mencelah.
Haziq yang sudah menghabiskan minumannya bingkas bangun untuk naik semula ke ofis, dipesannya lagi kepada Nazri,
"Ceritanya sekarang ni Ri, kau ada sebulan je nak buat something. tapi aku pesan awal-awal la sebab member punya pasal kan. Kau jangan terlalu berharap. tu je. Kalau ade jodoh kau, dan tuhan dah tetapkan jodoh kau dengan dia, kau akan dapat jugak dia walau lama mana pun walau susah mana pun kau nak dapatkan dia. Paham tak Muhamad Nazri Bin Jamal? "
Nazri tersentak memandang Haziq, tunduknya lesu memikirkan segala hakikat dan segala kemungkinan. Dia perlu mengatur sesuatu demi untuk gadis idamannya, Shana.

---------------------------------------

Nazri merenung monitor. Matanya saja tertumpu di depan tapi fikirannya melayang entah kemana. Terlalu banyak difikirkannya hingga tak sedar Shana sudah hampir seminit berdiri di sebelahnya. 
"ehemm.." 
Shana berdehem kecil. Nazri memandang ke arah Shana yang senyum kepadanya, terpaku Nazri melihat senyuman yang tidak pernah gagal menyejukkan hatinya yang panas atau mencairkan hatinya yang beku. Ditambah kulitnya yang putih mulus dan terbit pula rona rona merah di pipi Shana, masakan tiada lelaki yang cair melihatnya begitu. 
"Eh, Shana.. buat apa berdiri situ? meh la duduk sini." 
Segera Nazri memberikan kerusi untuk Shana duduk. 
"Awak dok menung je tu buat pe.. lama orang diri sebelah tu tau." Shana bersuara. 
Nazri hanya tersenyum, otaknya ligat mencari ayat nak cover line. 
"Orang tengah pikir strategi la.. tadi men game dok kalah je." 
"Mesti main game Where's My Water ni. nak potong orang punya record la tu."
"Eh, dah potong dah pun okay... tengah sampai level susah ni. dah dekat 30 try tak lepas lepas..haha"
"Dia yang tak terer, cakap game tu susah pulak. Bak sini bagi saya try pulak."

Nazri mengeluarkan handphonenya. Diberikan kepada Shana. Shana memang selalu main game dekat handphone Nazri apatah lagi Nazri memang sorang kaki game. Tak cukup bermain game di PC, sambung pulak main dekat konsol Nintendo DS. Dah bosan main game di konsol, disambung pula bermain game di handphonenya yang ber-OS-kan Android.

Keadaan sekeliling agak sunyi, Sekali sekala sambil membuat kerja, Nazri menjeling ke arah Shana yang leka bermain game. Dalam hati kecil berbisik, kalau nak diluahkan perasaannya kepada Shana sekarang memang ini keadaan yang tepat memandangkan tidak ramai orang yang berada di ofis itu pada ketika ini. Tapi Nazri masih takut-takut, masih was-was. Pada fikirannya ini bukan masa yang sesuai. Ini bukan keadaan yang sesuai. Rencana perancangannya tidak sesuai. Nazri memikirkan pelan, memikirkan masa, memikirkan keadaan yang sesuai untuk diluahkan isi hatinya kepada Shana. Berat hatinya, berat perasaannya menanggung segala yang terpendam. Betul kata orang, kalau cintakan seseorang, luahkanlah walau akan gagal. Berjaya atau tidak memang tidak diketahui. Segala rencananya, segala pasang jodoh kita telah tertulis telah tertetap di Luh Mahfuz sana. Maka kita sebagai manusia hanya mampu mencuba dan berharap agar segala yang dicuba adalah seperti yang sama yang telah tertulis. Nazri menjeling ke arah Shana sekali lagi. Shana mengangkat muka, memandang ke arah Nazri kembali dan tersenyum sambil berkata,
"Ri.. tengok ni, yang level awak kata susah tu kan? Saya dah lepas!! dah potong record awak. hehe"
Nazri tersenyum. Di jiwanya bercampur baur bermacam perasaan.

                                                   ---------------------------------------

"So... err.. Ima da tanya ke belum kat dia?"
Nazri tersengih duduk disebelah Ima, pelan pertama rancangannya diatur untuk mempergunakan Ima iaitu kawan baik Shana. Dalam kepalanya sudah teratur satu demi satu perancangan sehingga Nazri merasakan dirinya seperti The Joker dalam filem Batman. Sedar ke tak sedar si Nazri ni, Joker mana penah planning apa-apa. Joker sendiri cakap "Do I look like a guy with a plan?".
"Tanya apa Ri?" balas Ima.
"Alaa takleh harap la Ima ni. Kata nak tolong. Ri nak blanje makan ni kalau benda ni semua menjadi tau!"
"Elehh takat blanja makan.. pakwe Ima pon slalu. Ni kalau dah tolong ni nak bagi apa ni?"
"Aikk deal kita, kalau plan tu berjaya je kan? sekarang ni tak berjaya lagi. Mane bleh janji apa-apa."
"Haa ye lah tu. Takde la Ri, tadi Ima dah tanya dah dia.. tanya macam-macam la jugak. Ri dah sedia ke belum nak dengar ni?"
Jantung Nazri berdebar-debar. Kalau pagi tadi sibuk dicucuknya Ima untuk mengorek rahsia dari Shana, kini  dia seakan tidak sanggup dengar penjelasan dari Ima. Takut juga dia akan dikecewakan ketika itu juga.
"Err takpelah Ima, cerita je la. How bad can it be kan lagipun kan err kan?? "
"Berapa banyak kan la Nazri ni.. ok macam ni cerita dia. Kisah bermula masa Ima ngan dia berdua dalam kereta lepas kita pergi makan lunch tadi. "

                                                   ---------------------------------------

"Laju betul si Nazri tu bawak keta.. tau la dah terlambat. " 
kata Ima bila melihat Nazri memecut laju keretanya memintas mereka dan menyelit dicelah-celah kereta yang lalu lalang di sekitar jalan Putrajaya yang agak lengang ketika itu.
"Dia sakit perut kot, tadi gi makan rojak campur tu. Orang tengok pun lain macam je rojak tu." kata Shana pula.
Ima memandang Shana disebelahnya sambil dia memandu. Hanya mereka berdua sahaja di dalam kereta. Kini Ima pula yang sedikit cuak untuk menanyakan soalan-soalan panas kepada Shana.
"Tak guna punya Ri, aku jugak yang disuruhnya pergi merisik.", menyumpah-nyumpah sedikit Ima didalam hati kerana mengikutkan pelan agung Nazri yang menyuruhnya untuk mengorek rahsia dari Shana. "Here goes nothing Nazri..", katanya lagi dalam hati.
"Shana ni prihatin betul. suka kat Ri ke?", 
Ima menepuk pipinya perlahan. Macam manalah dia boleh terlalu straight to the point tanya soalan nih. Dilihatnya Shana senyap tak berkata apa-apa dab hanya memandang depan, mengunci mulut.
"Takkan la takde suka sikit pun kat Ri tu? "
Ima memandang kembali Shana yang masih senyap. Akhirnya Shana membuka mulut.
"Ada.." ringkas jawapannya dengan nada sebutan yang sangat pendek.
"Ada suka.... tapi suka sebagai kawan je lah."
Ima masih tak berpuas hati dengan jawapan Shana. Ingin diperahnya lagi rahsia Shana, kini Ima pula seakan excited dengan situasi ini. Dan dia berkata lagi.
"Alaa tu jawapan cliche la Shana, cuba bagi jawapan lain."
Shana terdiam memikirkan sesuatu. Ingin diceritakan perihal sebenar, kerana dia percayakan kawan baiknya itu akhirnya Shana menceritakan segala-galanya kepada Ima.
"Pernah sekali dulu.. Shana mula suka kat Ri sebab Shana ada masalah yang besar jugak masa tu. Orang rasa, Ri la orang yang ada ambik berat pasal Shana. Sifat dia yang caring tu, sapa tak tertarik kan?"
Ima mengangguk-angguk. Dia tahu semua tu. Memang Nazri seorang yang ambil berat pasal Shana sehingga Nazri yang bukanlah siapa-siapa bagi Shana tu sendiri boleh tahu apa yang disukai dan tidak disukainya.
"Tapi masa tu jelah.. lepas tu bf Shana dah ok balik and dia la yang banyak tolong Shana..tapi tu dulu la Ima, memang pernah suka kat dia, sekarang suka sebagai kawan je la." kata Shana lagi.
"Tapi kan Shana, kenapa tak nak terima Ri? dia bukan jahat pun kan? dia selalu amik berat pasal Shana, apa Shana nak dia sanggup buat. kan?"
"Memang la Shana tak cakap pun Ri tu jahat.. Shana cuma anggap dia sebagai kawan je."
"Tapi bf Shana tu pun kan banyak kekurangannya.. Shana sendiri selalu cerita kan. Ini just pendapat Ima la, walaupun benda benda yang Shana cerita tu simple, tapi bagi Ima benda tu agak berat tau."
tanya Ima pula kembali mencucuk jarum.
"Dia memang banyak kekurangan, tapi orang rasa dia jenis tak reti nak tunjuk perasaan. Tapi dalam masa yang sama ambil berat dalam diam. bf Shana ni prihatin jugak benda benda yang Shana suka dengan tak suka." 
Shana mula backup boyfriendnya pula.
"Kalau camtu bukan sama je ke dengan Ri?"
"Whichever comes first Ima.." balas Shana kembali.
"Ok.. you're right. Btw, Ri tak pernah ke cakap dia suka kat Shana?" Ima memerangkap soalan. 
"Hmm.. tak pun." kata Shana mudah.
"Tapi dia pernah cakap dia sayang kat Shana. Tak tau la betul ke tak? lagipun bukan Ima tak kenal budak budak lelaki tu macam mana. Perkataan sayang tu senang senang je cakap. kan? ", 
Shana menyambung kembali kata-katanya.
"Ermm musykil gak nih. Ri tu takkan tak pernah tanya langsung kat Shana" 
Ima semakin curious, banyak lagi dia tak tahu pasal Nazri sendiri.
"Ri tak pernah tanya, atau pun pernah cakap dia suka kat Shana. So Shana anggap biasa je la.."
"Tapi kan Shana, takkan la Ri tak pernah bagi hint hint kot? lagipun kawan-kawan kita kan selalu je bahan-bahan Shana ngan Ri?"
"Shana tau semua tu. tapi takkan la Shana nak cakap direct kat dia, nanti hubungan kawan kitorang jadi renggang pulak. Tak best la camtu."
"Ishh kau ni Shana, tak baik tau mainkan perasaan orang.."
"Bukan mainkan perasaan. Tapi takut la nanti hubungan kawan tu jadi renggang. Kan lebih elok macam ni." Shana melemparkan senyum kelat kepada Ima. Hanya dalam hati saja yang tahu perasaannya.

Dalam kerancakan mereka berbual, akhirnya mereka berdua telah sampai ke pejabat. Keluar dari kereta, mereka terlihat Ri yang sudah berada di depan pintu pejabat sedang melambai kepada mereka. Shana dan Ima memandang sesama sendiri dan tersenyum.

                                                  ---------------------------------------
     
"Ni semua salah Ri. Kenapa Ri tak pernah confess kat dia?" 
Ima sedikit berang dengan Nazri. Disangkanya Nazri pernah memberitahu kepada Shana seluruh isi perasaannya.
"Memang la tak pernah confess. Kan semalam Ri dah cakap yang Ri perlukan timing yang sesuai. Tu la sebab Ri suh Ima gi korek korek sikit rahsia dia." Nazri cuba mempertahankan diri.
"Lantaklah Ri, timing laa, planning la, haa kan sekarang dah melepas. Cuba kalau Ri try masa dia ada problem besar aritu? mesti dah berjaya dah kan?"
"Manelah kita tau bila momentnya cik Ima oii. Ri ni kan memang hari-hari macam tu jer..."
"Ri memang la tak tau sebab dia pendam rasa tu sorang. Dia bukan macam orang lain kalau ade masalah je semua orang tahu.." kata kata Ima membuatkan Nazri terdiam. Dia ingin mengatakan sesuatu tapi semacam tak sampai.
"Macam ni lah Nazri, Ima dah cuba bantu apa yang boleh. Ima rasa, Ri sendiri tau apa jawapan dia kan. So terpulanglah pada Ri nak buat macam mana sekarang."
"Hmm.. thanks Ima, you're a great help. And I need to use one final last straw in the pocket. Ni last Ri nak mintak tolong kat Ima. My last plan.. boleh tak?"
Nazri merencanakan rancangan terakhir, plan cinta agung alter terahsia yang dicadangkannya kepada Ima. Kali ini Nazri nekad, ingin mencuba memadankan jalan ceritanya dengan tulisan yang sudah terlekat di Luh Mahfuz...

                                                   ---------------------------------------

Shana membelek kupon baucer ditangannya. Di kupon itu tertulis diskaun makan di sebuah restoran terkenal di Putrajaya dan kupon itu hanya sah untuk ditebus pada tarikh hari ini sahaja iaitu 15 April. Shana menunjukkan kupon itu kepada Ima dan mengajaknya makan sekali. Kebetulan, Nazri yang sedang berjalan kearah mereka dan Shana mengajak Nazri sekali untuk lunch bersama tengahari itu. Nazri sebenarnya sudah mengatur rancangan tersendiri. Namun melihatkan Shana yang sudak mengajaknya makan, maka terpaksa diubah sedikit rancangannya. Ima menjeling ke arah Nazri, seolah faham dengan apa yang ingin dilakukannya.

Tengahari itu kawan-kawan Nazri ramai yang mengajaknya keluar makan. Maklumlah, hari itu hari Ahad. Bolehlah mereka keluar makan lama sikit. Nazri terpaksa menolak pelawaan mereka kerana perlu mengikut perancangannya tengahari itu. Bermacam macam alasan yang dia terpaksa reka untuk menolak ajakan mereka. Selepas kebanyakan staf staf keluar berehat, tibalah giliran Nazri untuk keluar makan. Dia melihat Ima dan Shana sudah bersiap lalu diajaknya keluar makan. Tengahari itu mereka hanya menikmati lunch bertiga. Nazri, Ima dan Shana iaitu tepat seperti yang dirancangkan Nazri sejak awal. Mereka makan dan berborak seperti biasa walaupun Nazri agak nervous tengahari itu.

Selepas lunch mereka pulang ke ofis. Nazri semakin berdebar-debar. Pelan rancangannya semakin menghampiri klimaks. Meluncur sahaja kereta Nazri menghampiri kawasan pejabat, dia mengeluarkan handphone kecilnya. ditaipnya mesej ringkas berbunyi,

"Karang tunggu kejap dalam kereta eh, saya ada sesuatu nak cakap kat awak."

ringkas pesanannya. SMS dihantar kepada Shana. Orang yang betul betul duduk disebelahnya, di tempat duduk sebelah driver walaupun sebenarnya Nazri boleh saja bercakap depan depan dengan Shana. Telefon bimbit Shana berbunyi tanda ada mesej masuk. Dibukanya mesej itu, dibacanya dengan teliti. Air mukanya berubah.

Sampai saja di tempat parking kereta, Ima yang duduk di belakang bingkas bangun dan keluar dari kereta tanpa berkata apa-apa. Misinya sudah selesai, wataknya sudah dijayakan, lakonan dia sudah tamat. Apa sahaja yang terjadi kepada kedua orang itu dia tidak lagi peduli. Shana duduk terdiam memandang Nazri dan menunggu segala butir percakapan yang akan diutarakannya. Nazri memulakan bicara. Diluahkan segala perasaannya kepada Shana. Nazri seolah tidak percaya hari ini dia meluahkan isi hatinya kepada Shana. Kalau tak disebabkan dicucuk padu kawan-kawannya, kalau tak disebabkan sepanjang malam dia solat hajat dan istikharah, kalau tak disebabkan Ima yang membantunya mengorek rahsia. Tentu dia tidak berani meluahkan segala-galanya hari ini.

"Saya mintak maaf, tak bagitau awak awal-awal pasal perasaan saya. Saya terpaksa menanti masa yang sesuai. Saya tahu awak dah berpunya. Saya cuba tolak perasaan saya. Saya cuba tepis sebab saya tahu saya akan gagal. Tapi entah kenapa, hati ini kuat untuk awak." Nazri meneruskan pertuturan.
"Saya paham, benda perasaan ni tak boleh dipaksa-paksa. Saya tak boleh paksa awak berhenti sukakan saya. Saya tau awak sayangkan saya. Tapi saya tak boleh Ri. Saya tak boleh terima awak." 
Shana perlahan lahan menutur baris. Cuba menahan perasaannya. Cuba untuk tidak mengeluarkan air mata.
"Shana, saya tau jawapan awak sekarang apa. Tapi saya mintak awak fikirkanlah dulu. Saya bagi awak masa untuk awak fikirkan. Saya nak awak bagi peluang dekat saya.
"Tapi Ri, ramai lagi perempuan lain. Kenapa awak tak cuba dekati diorang. Saya mintak awak bukakan hati awak, bukakan perasaan awak untuk perempuan lain...please Nazri."
"Awak suruh saya bukakan hati saya untuk orang lain, tapi Shana.. kenapa awak tak boleh buat benda yang sama? awak tak boleh ke bukakan hati awak untuk saya jugak? Sekurang-kurangnya saya dah cuba, awak dah cuba ke?"
Shana terdiam, dia menyeka air mata yang mula menitis. Terperangkap dalam perasaan sendiri..
"Shana for one last time. Saya mintak awak beri peluang. Dan tolonglah fikirkan permintaan saya..ye ?"  Dah jomlah kita naik ofis. Nah tisu lap air mata tu ok? Nazri menghulur tisu kepada Shana.

Shana mengelap air matanya. Mungkin benar kata-kata Ima dan Nazri, mungkin dia perlu beri peluang. Peluang kedua selalunya memang tidak sia-sia. Shana membuka pintu kereta dan keluar. Sinaran terik matahari tengahari itu bagai menyinarkan harapan untuk Shana.

" Shana! mintak tolong sikit.. tolong ambik beg laptop saya kat belakang bonet kereta tu."
Nazri tiba-tiba bersuara dan menekan punat untuk membuka bonet. Shana berlalu ke belakang kereta, diangkatnya bonet kereta itu dan matanya tertangkap kepada dua buah objek. Seakan tak percaya apa dilihatnya. Matanya melilau mencari beg laptop yang dikatakan Nazri. Tidak dijumpainya.. ya, all part of the plan, memang tiada beg laptop disitu dan Nazri memang sengaja memancing Shana untuk membuka bonet keretanya. Shana tersenyum melihat kedua-dua objek itu. Satu adalah sejambak bunga ros dan satu lagi adalah tayar spare. Kedua-duanya terikat dengan riben dan ada kad yang bertulis. Pada kad itu tertulis,

"Kalau jawapan awak YA, keluarkanlah bunga ros ni. Kalau TIDAK, angkat dan keluarkanlah tayar spare ni."

Sambil tersenyum sendirian, dalam hati kecil Shana berkata; "Tak guna punya jantan, pandai ye.. mentang-mentang aku tak larat nak angkat tayar ni.. "


                                                  ---------------------------------------

Pagi esoknya, Nazri mengajak Halim bersarapan di kedai mamak berhampiran. Biasalah kalau hari cuti bagi orang bujang pukul 10 pagi tu paling awal kalau bangun. Sambil menikmati roti canai dan segelas teh o suam, fikiran Nazri menerawang ke peristiwa semalam. Seakan tak percaya apa yang telah berlaku, seakan tak percaya dengan apa yang dia telah buat. Nazri dan Halim berbual biasa, sembang jantan. Tiada siapa yang tahu apa berlaku semalam. Redup pagi itu, berangin meniup, menenangkan fikiran Nazri. Sekurang-kurangnya dia berjaya melepaskan satu beban yang dah ditanggung selama ini. Segala yang memeningkannya selama ini telah dilepaskan. Pagi itu, Nazri menghantar message Whatsapp kepada Ima. Mahu mengucapkan terima kasih diatas segala bantuan dan menjayakan pelannya.

" Thanks Ima  for everything.. you've been a lot of help." 
Tak lama kemudian Ima reply message Whatsapp Nazri itu.
" You're welcome...tak sangka kau berani buat macam tu ek Nazri? hehe "

" Biasa je tu.. apalah sangat. kan.."

" Semalam, Shana ada bagitau apa yang Ri buat. Amboi.. tak cukup cakap kat mulut, dekat message pun nak bagitau jugak."

" Hahaha.. cuak la semalam Ima. Semalam time cakap direct dekat dia, stutter giler mulut nih. Nak cakap sikit punya banyak, last last yang mampu luahkan sikit je. "

" Ohh..tu yang sambung berjela-jela dalam message tu eh? "

" Hahaha.. hantar message tu nak bagi point tu jelas je. I'm a writer not a talker....I can write sweet things but not talk sweet.. heheh."

" Well tapi Ima rasa, what you did yesterday and what you told her yesterday, I think its so sweeeet. Ima siap cakap lagi kat dia, untung Shana kalau dapat Nazri, baru nak propose dah sweet. Kalau bercinta ntah sweet camne pulak lagi kan? "

" Hahaha...pandai ngutuk aku yer Ima. So ape respon dia masa tu? "

" She just smiles...dia macam ada suka, tapi tu lah. hehehe. I wish you all the best ye Nazri.."

" Haha ye aku paham Ima.. thanks tau."

Ima dan Nazri menamatkan perbualan mereka di Whatsapp. Nazri kembali menghirup teh o suam yang sudah semakin sejuk, Halim di sebelah masih leka bermain handphone. Hanya ketenangan menyelebungi suasana pagi itu. Segala pelan, segala rancangan telah diatur demi cinta yang tidak diketahui...

"Mengejar orang yang salah itu ibarat bertinju dengan pokok kelapa, perbuatannya memang tak salah tapi sia-sia..."




1 comment:

citah bukan mazid said...

nak bace cerita ni..tapi skang ni dah malam sangat..esuk baru baca.. hehehe :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...