adverts

Saturday, October 12, 2013

[Short Stories Saturday] #12 : Kopi Garam.


Diana duduk termenung di luar rumahnya. Sambil melihat titisan lebat hujan Oktober yang sentiasa menggamit memorinya. Di pegangnya sebuah kotak kayu lama. Biarpun sudah lama tapi masih dijaganya, masih cantik tersimpan, masih utuh bagai tak ditelan zaman. Pandangan Diana silih berganti antara titisan hujan itu dan kotak yang dipegangnya. Merenung dan mengenang segala cerita silam.

Tidak lama kemudian muncul pula Yuna, anak dara suntinya keluar ke halaman rumah membawa dulang yang mengandungi dua buah cawan yang berisi kopi. Diletaknya perlahan lahan dulang itu diatas meja sambil melihat emaknya yang seolah tidak perasan kan kehadirannya disitu.

"Mak, mak ok tak ni?"
"Oh.. Yuna. Mak takde pape. saje dok belek belek kotak ni haaa."
"Oww.. laa tak puas lagi ke dok belek belek kotak tu mak? nah jemput minum dulu kopi ni. Hujan-hujan ni pekena kopi panas baru la sedap kan mak."
"Sedap kopi kau buat ni Yuna. Manis.. "
"Alaa buat kopi je mak. Apa yang susahnya, kopi semua sama je rasa dia..mana ada kopi rasa masin."
"Sape kata takde Yuna, dalam dunia ni agaknya cuma sorang je yang buat kopi rasa masin.."
"Hahh? ada ke mak? sape?"
"Yuna.. mak tak pernah cerita lagi perkara ni dekat kau. Rasanya biarlah petang ni mak ceritakan kat kau semuanya termasuk pasal kotak ni. Dalam dunia ni mungkin cuma sorang je yang buat kopi rasa masin, orang tu mungkin mak la orangnya."

-----------------------------------------------------

Malam itu hujan lebat bulan Oktober membasahi bumi. Di sebuah majlis keramaian terlihat suatu susuk indah kelihatan. Gadis itu menjadi tumpuan ramai jejaka di majlis itu. Semua mata seolah tidak berkerlip memandangnya. Dialah yang paling menyerlah malam itu. Dia adalah Diana. Si jejaka pula hanya biasa-biasa, hanya normal. Tiada siapa memberi perhatian kepada Average Joe sepertinya, dialah Aril. Si pemukau dan Si biasa, berada di majlis keraian. Ibarat jodoh yang memanggil, mereka bertemu, bertentang mata di akhir majlis. Aril mengajak Diana minum minum di cofee shop berhampiran. Sekadar ingin berkenalan dengan pemikat mata yang empunya badan. Diana terkejut dengan ajakan itu, ingin juga dia menolak tetapi atas sikapnya yang sopan, dia menerima saja jemputan itu. Secawan kopi, ahh apa lah salahnya bukan?

Mereka berdua duduk berhadapan sama sendiri di sebuah kedai kopi yang cantik dan classy. Mungkin sedikit fancy tambahan secawan kopi berharga belasan ringgit. Aril terlalu nervous, jarang sekali dia berjaya mengajak seorang gadis untuk menemaninya minum. Apatah lagi gadis yang sangat cantik ibarat bidadari seperti itu. Aril terkedu, Diana termangu. Sebutir ditanya, sebutir dijawab. Siapa nama, duduk mana, tinggal dengan siapa, soalan textbook klasik. Aril kembali nervous, Diana mula tidak selesa, dia mula merasa seperti ingin cepat pulang, cepat terlepas dari seksaan ini. Tiba-tiba, Aril mengangkat tangan memanggil waiter.. "Err.. boleh awak bagi..err... Garam? nak letakkan kat dalam kopi ni."

Tiba-tiba semua mata di kafe itu memandang kepadanya, pelik! aneh!. Muka Aril berubah merah padam. Tapi dia tetap meletakkan garam itu kedalam kopinya dan terus meminumnya tanpa banyak kata. Diana yang masih terkejut menanyakan kepada Aril. Apakah ini hobinya? minatnya? Aril membuka cerita dengan penuh yakin. Diteguknya sekali lagi kopi bergaram itu dan membuka cerita. "Waktu saya kecil dulu, saya duduk dekat dengan laut. Rumah saya memang sebelah dengan laut hinggakan kalau saya boleh baling seketul batu dari tingkap rumah pun boleh sampai ke persisir pantai. Saya anak laut, laut ialah padang permainan saya. Rasa laut tu memang indah, sedikit masin dan mencengkam. Samalah rasanya macam Kopi Garam ni. awak pun tau kan macam mana rasa air laut tu? hehehe." Diana tersenyum sambil mengangguk, Aril sambung bercerita. "Sekarang bila saya minum kopi garam, saya akan teringat childhood saya. Teringatkan kampung halaman. Saya rindu kampung saya, rindu kepada ibu dan ayah saya yang masih tinggal dekat situ. Rindu bermain di tepi laut...". Sambil bercerita, tiba-tiba air mata Aril menitis tanda dia benar benar rindukan semua yang diceritakan. Aril senyum kepada Diana. "maaf ye awak, saya emosional sikit. hehehe.."

Diana merasa terharu, seorang lelaki yang homesick dan sangat rindukan kampung halamannya. Lelaki ini mesti seorang yang home type. Yang sayangkan keluarganya dan rumahnya, bertanggungjawab terhadap keluarganya dan rumahnya. Seorang lelaki yang bertanggungjawab. Itu tanggapan Diana mengenai Aril. Diana mula merasa selesa, dia juga mula bercerita tentang kampung halamannya yang jauh, tentang zaman kecilnya, tentang keluarganya. Malam yang mulanya kekok dan hambar bertukar menjadi saat yang indah, mereka berborak dan terus berborak malam itu, menjadikan suatu permulaan yang baik dalam perhubungan mereka. Mereka terus keluar bersama kemudiannya, "Dated" bak kata omputeh. Diana tidak menyangka yang lelaki ini disebalik perwatakan dan luarannya yang sebegitu, dia sebenarnya mempunyai ciri-ciri yang lengkap diinginkan Diana. Seorang yang baik hati, menyenangkan, sabar dan berhati-hati. Dia seorang lelaki yang baik dan tidak akan sekali kali ingin dilepaskannya, semua ni hanya disebabkan oleh kopi garam itu.

Ibarat cerita cinta indah klasik, begitulah cerita seterusnya. Sang puteri mengahwini si putera, hidup bahagia dan sempurna. Dikurniakan pula seorang cahaya mata, Yuna diberi nama. Dan, setiap kali Diana membuatkan kopi untuk Aril, dia akan meletakkan sedikit garam. Sama seperti yang disukai suaminya yang tersayang.
---------------------------------------------------

Yuna memandang muka ibunya. Diambil kotak kayu yang sering dipegang ibunya itu. Dipandang dan dilihat dengan teliti.

"Bukalah..." Diana menyuruh anaknya membuka kotak kayu itu. Dilihatnya ada sekeping kertas seperti surat yang terlipat kemas.
"Surat apa ni mak?", Yuna bertanya.

40 tahun selepas mereka berkahwin, Aril meninggal dunia terlebih dulu. Sebelum dia pergi, dia sempat menulis sekeping surat buat isterinya yang tersayang. Diana membuka surat itu, dibacakan pula kepada anaknya Yuna...

Wahai Diana isteriku yang tersayang, maafkan saya, maafkan penipuan sepanjang hidup saya kepada awak. Hanya suatu perkara yang saya bohong kepada awak sepanjang hidup kita. Kopi Garam. Awak ingat tak pertama kali kita keluar berdua? saya nervous sangat dan sebenarnya saya nak mintak gula dekat waiter tu, tapi saya terminta garam dekat dia. Saya dah malu sangat masa tu sampaikan saya tak berani nak tukarkan garam dengan gula.


Tapi tak sangka bukan? itulah permulaan bicara kita berdua. Itulah permulaan semuanya. Saya cuba nak bagitahu awak sepanjang hidup saya tapi saya tak berani untuk bagitahu perkara sebenar sebab saya pernah berjanji bukan? berjanji yang saya tak akan membohongi awak pasal apa sahaja. Dan sekarang saya tahu hidup saya sudah tak lama lagi jadi saya takkan menyesal untuk bagitahu awak perkara yang sebenarnya sayang. 



Saya TAK SUKA Kopi Garam. Rasa dia pelik dan tak sedap.... langsung. Tapi hidup bersama dengan awak, saya minum Kopi Garam hampir setiap hari. Setiap hari yang saya mengenali awak. Saya tak pernah menyesal dengan semua itu. Saya rasa ianya berbaloi sebab asalkan adanya awak dalam hidup saya sudah cukup dan terlalu menggembirakan.



Andai saya boleh hidup semula sekali lagi, Saya masih.. ingin mengenali awak, dan mempunyai awak dalam hidup saya sekali lagi. Walaupun saya terpaksa minum Kopi Garam buatan awak sekali lagi sepanjang hidup saya.



Sebab saya cintakan awak, sepanjang hidup saya.... "


-------------------------------------------------------------

Air mata Diana mencurah ibarat hujan lebat diluar, membasahi surat yang dipegangnya. Yuna memeluk ibunya. Tidak dia sangka, ayahnya dulu seorang yang romantik dan sangat menyayangi ibunya. Dia merasa sedikit bangga dengan ayahnya. Dalam diam, air mata Yuna turut menitis. Yuna tersenyum melihat ibunya.

" Mak... kalau satu hari nanti, orang tanya kat mak, macam mana rasanya kopi garam tu, mak nak jawab apa? ". tanya Yuna.

" Senang je tu.. kalau satu hari nanti, orang tanya apa rasanya kopi garam... mak akan jawab....",

Manis rasanya...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...