adverts

Saturday, February 4, 2012

[Short Stories Saturday] #1 : Kalaulah Dia Masih Ingat


Rumah Bahagia Mahsuri petang itu kelihatan ada ramai orang. Ramai pengunjung datang melawat keluarga mereka di situ. Kebanyakannya adalah waris penghuni rumah itu sendiri yang datang melawat orang tua mereka yang terpaksa ditinggalkan akibat kesibukan dunia pasca moden harian mereka. Ada yang datang melawat setiap hari, ada juga yang tiga kali seminggu, ada juga yang hanya seminggu sekali, sebulan sekali, tetapi yang paling sadis setahun sekali pun ada itupun pada Hari Raya pertama. Belum pula cerita yang waris hanya nampak muka pada hari pertama saja iaitu semasa menghantar orang tua mereka, kemudian langsung tak pernah datang kembali.

Amin berlegar-legar di ruang menunggu Rumah Bahagia Mahsuri, seolah-olah sedang mencari seseorang. Puas ditolehnya kiri kanan. Oleng-oleng kepalanya mencari susuk yang dia perlu jumpa itu. Suhani, salah seorang jururawat di rumah itu ternampak Amin. Suhani baru seminggu bekerja di rumah itu menggantikan Amalia. Jururawat sebelum itu yang akhirnya mendapat tawaran bekerja dengan Hospital Kerajaan. Pening kepala Suhani, melayan pengunjung rumah itu. Ini hari Ahad lagipun, pastinya rumah itu akan mendapat bilangan pengunjung paling ramai pada hari ini.

Suhani menerpa kearah Amin, "Encik, nak jumpa siapa ya? boleh saya bantu?" Amin menjawap, " Oh! saya nak jumpa Puan Hani, nak bagi dekat dia barang-barang ni. Almaklumlah orang kirim", Amin menunjuk kepada Suhani satu bungkusan plastik penuh dengan makanan dan snek untuk diberi kepada Puan Hani, salah seorang penghuni rumah itu. "Puan Hani ya? saya baru je balik dari bilik dia, Encik boleh pergi cari dia di bilik dia lah ya. di bilik nombor 6." jelas Suhani. "Terima Kasih", balas Amin dan segera beralih mencari bilik Puan Hani.

Sampai sahaja Amin di bilik nombor 6, dia terus terlihat Puan Hani. Puan Hani adalah antara penghuni terawal di Rumah Bahagia Mahsuri. Sudah 5 tahun dia menginap di situ dan staf staf malah ada pengunjung rumah itu sudah terbiasa memanggil beliau sebagai Ibu Hani. Semua dek kerana sifat keibuan dan sifat lemah lembut yang ada pada Ibu Hani. Ibu Hani tidak pernah marah kepada sesiapa, biarpun kalau ada yang dia tidak puas hati dia hanya akan tegur dengan nada suara paling lemah lembut, membuatkan tiada siapa yang mahu membuatkan Ibu Hani menjadi marah.

"Assalamualaikum Ibu Hani, apa khabar hari ini?", sapa Amin.
"Ohh Amin! mak cik sihat je.. jemputlah masuk, banyak benda yang makcik nak cerita dekat kamu ni!", kata Puan Hani.
"Ye ke Ibu? mesti Ibu ada banyak cerita nak cerita dekat saya ni kan? ni yang tak sabar Amin nak dengar nih. Oh ye Ibu, ni Amin ada bawakkan makanan ringan untuk Ibu."
"Alahh susah susah aje kamu ni Amin belikan makcik benda-benda ni, kadang-kadang makcik tak makan pun sangat benda-benda yang Amin belikan ni. Kadang-kadang makcik bagi je dekat orang lain. Tapi alang-alang Amin dah beli ni, mak cik ucapakn terima kasih banyak-banyak ya, syukur alhamdulillah rezeki Allah."
Amin tersenyum, raut wajah Ibu Hani selalu menenangkan hatinya membuatkan dia rindu sangat dengan ibu bapanya. Kalaulah dia dapat kembali ke masa dulu.
"Jauh menung tu Amin? teringat dekat siapa tu?" tegur Ibu Hani, "Ini Amin, makcik nak cerita ni. tau tak? hari ni hari yang sangat istimewa tau Amin. Diorang cakap petang ni anak makcik akan datang melawat makcik. Rindu betul makcik dekat dia... haaa nanti kau dapatlah jumpa dengan anak makcik tu ya Amin. "
"Ye ke Ibu? wahh baguslah tu..mesti Ibu teruja sangat kan?", kata Amin sambil tersenyum memandang Ibu Hani.
Amin terus melayan kerenah Ibu Hani yang suka bercerita kisah kisah silamnya. Cerita pasal keluarganya pun ada, pasal arwah suaminya yang meninggal dalam kemalangan menyayat hati sampailah ke kisah 7 orang anaknya. Sesekali tersentuh juga hati Amin bila mendengar cerita itu walaupun banyak kali Ibu Hani mengulang cerita itu setiap kali Amin melawat dia.

3 jam kemudian...

Jam sudah menunjukkan pukul 6 petang, waktu melawat sudah pun berakhir. Amin minta diri untuk pulang.
"Ibu, Amin dah nak kena balik ni. Waktu melawat dah habis."
"Cepat betul masa berlalu ya Amin, mak cik mintak maaf la anak makcik tak datang hari ni. Dia sibuk sangat tu ada hal agaknya. Esok mesti dia datang bila Amin datang melawat esok ya?", kata Ibu Hani seolah olah mahu menyedapkan hatinya. Tapi istimewanya Ibu Hani, dia masih mampu tersenyum hingga sekarang.
"Hmm.. ya Ibu, esok mesti dia datang. Esok kita jumpa dia ya Ibu? Amin mintak diri dulu.. Assalamualaikum.."

Amin meninggalkan bilik nombor 6 itu dan bergegas ke kaunter pendaftaran. Selepas menandatangan buku log kedatangan disitu, Amin meminta salinan surat pendaftaran Puan Hani binti Ramlan untuk urusan pejabat kata Amin. Selepas mendapat dokumen yang dikehendakinya, dia bergegas menuju ke kereta. Di luar, hujan tiba tiba turun dengan lebat. Amin berlari-lari ke keretanya yang letaknya lebih kurang 80 meter dari Susur Gajah berbumbung Rumah Bahagia Mahsuri itu. Teringat dia kembali kepada Ibu Hani disaat kali pertama dia membawa orang tua itu datang ke rumah ini melalui Susur Gajah itu. Tidak semena-mena, air mata jantannya jatuh berlinangan. Tapi disebabkan hujan yang begitu lebat, air matanya hilang bercampur dengan lebatnya air hujan berasid itu.

Didalam kereta, Amin mengesat badannya dengan tuala Good Morning yang sentiasa diletakkan di dalam keretanya. Sambil mengesat air matanya, dia buka kembali dokumen yang dimintanya tadi, sambil fikirannya kembali melayang kepada kata kata Ibu Hani tadi.

"Esok mesti dia datang bila Amin datang melawat esok ya?"

"Ya mama, Amin pasti akan datang melawat lagi esok. Amin pasti anak mama ni akan datang esok. Mama tunggu ya? "

Air mata Amin kembali mengalir, ditelitinya dokumen yang dimintanya tadi untuk membuat double-checking. ditelitinya satu-satu frasa di dalam dokumen.

Nama : Hani Binti Ramlan
Nama Waris Pertama: Muhammad Amin Bin Shahri
Hubungan Dengan Waris Pertama: Ibu-Anak
Tarikh dimasukkan: 5 Februari 2007
....
....
Penyakit (jika ada): Alzheimer
...
Sampai di situ, Amin berhenti meneliti dokumen yang ada padanya, disimpannya kembali ke dalam beg dan meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah. Dalam hatinya berbisik kecil;

"Ibu ingat semua cerita cerita silam dia...tanpa gagal dia ceritakan balik kepada aku. Tapi, kalaulah ibu masih ingat dekat anak dia ni...."

------

3 comments:

Unknown said...

bru aku prasan yg ko kembali aktif dlm dunia blog ni

PELAUNG PULAU said...

lol... taun baru, azam baru

PELAUNG PULAU said...

lol... taun baru, azam baru

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...